Words by Salina Shaari
Kesanan penyakit HIV/AIDS di Malaysia pada tahun 1986 .Selang beberapa tahun selepas itu, HIV/AIDS telah menjadi penyakit berjangkit utama yang menyebabkan kematian. Sekitar 1990an HIV/AIDS mula dikenali menjangkiti kepada wanita. Nisbah wanita yang dijangkiti virus HIV/AIDS ketika itu amatlah rendah jika dibandingkan dengan kadar jangkitan terhadap lelaki.
Diantara wanita tersebut ialah saya. Saya Salina, seorang wanita yang telah lama hidup dengan HIV/AIDS. Saya telah hidup dengan HIV selama 20 tahun. Wanita seperti saya mudah terdedah dengan jangkitan dan ia boleh berlaku melalui hubungan seks, penggunaan jarum suntikan yang sama dengan pembawa virus HIV akibat penyalahgunaan dadah, pemindahan darah semasa pembedahan daripada darah pembawa virus HIV/AIDS ataupun jangkitan daripada ibu yang pembawa HIV/AIDS kepada anak.
Wanita yang merupakan HIV positif menghadapi pelbagai isu seperti isu kesihatan, rawatan, pencegahan, stigma dan diskriminasi serta bebanan tanggungjawab terhadap keluarga. Sebagai seorang wanita yang hidup dengan HIV/AIDS, kekuatan mental, emosi serta pengetahuan HIV/AIDS amat penting. Perkara ini telah menolong saya berfikir secara rasional dalam membentuk hidup saya di masa hadapan.
Kesukaran saya berdepan dengan semua masalah ini dapat diatasi hasil daripada nasihat dan panduan daripada Dato' Dr Christopher Lee yang merupakan pakar untuk penyakit berjangkit ketika saya mendapat tahu yang saya dijangkiti penyakit ini. Ketiadaan rakan sokong bantu dan kaunselor yang arif tentang HIV/AIDS merupakan masalah utama saya dan wanita seperti saya yang hidup dengan HIV/AIDS pada awal 1990an.
(Image from Google) |
Gangguan emosi dan perasaan sukar untuk menerima kenyataan adalah cabaran utama wanita HIV positif. Pada waktu itu, hidup umpama seperti "pokok tiada baja" ataupun “bangkai bernyawa". Syukur kepada Tuhan yang sebagai seorang Muslimah, saya menerima takdir dengan hati yang terbuka dan berfikir secara bijak dengan mengawal emosi saya. Apa yang ada ketika itu hanya kematian kerana belum ada lagi sebarang rawatan sekitar tahun 1995. Namun begitu , ini bukanlah penyebab untuk saya tidak akur kepada temujanji yang ditetapkan. Kaedah rawatan untuk wanita HIV positif yang disediakan dari dahulu hingga sekarang adalah sama seperti lelaki. Rawatan ulangan tertakluk kepada kesihatan wanita itu sendiri. Wanita HIV positif seperti saya yang belum memulakan rawatan HAART (pada masa itu) berisiko untuk mendapat jangkitan lain seperti kanser serviks dan lain-lain lagi. Saya amat bernasib baik kerana sepanjang 14 tahun sebelum saya memulakan rawatan HAART, saya tidak mendapat penyakit yang boleh memudaratkan kesihatan saya. Hanya apabila selepas memulakan HAART saya mendapat T.B iaitu selepas 16 tahun hidup dengan virus HIV.
Dua tahun selepas kematian suami saya yang pertama akibat AIDS, saya berkahwin semula dengan seorang lelaki HIV negatif yang mengetahui akan status saya. Pada tahun 1999, prosedur perkahwinan tidak memerlukan pasangan yang ingin berkahwin untuk membuat ujian HIV. Ramai dikalangan wanita HIV positif berkahwin dan meneruskan hidup hingga sekarang. Sekarang, undang- undang telah ditetapkan oleh majlis agama islam di seluruh Malaysia yang mewajibkan semua pasangan yang ingin berkahwin untuk mengambil ujian HIV. Ini akan menghindari wanita HIV positif seperti saya untuk meneruskan hidup mereka dengan pasangan baru.
Namun begitu, institusi perkahwinan bukanlah penyelamat seseorang wanita daripada dijangkiti virus HIV/AIDS. Wanita yang berkahwin tanpa mengetahui status (HIV) si suami berisiko tinggi mendapat penyakit ini. Wanita seperti saya juga agak sukar untuk meminta si suami menggunakan kondom ketika melakukan hubungan seks. Wanita HIV positif yang belum memulakan rawatan seperti saya berisiko untuk menjangkitkan pasangan seperti suami saya. Oleh kerana itu, langkah pencegahan harus diutamakan dengan penggunaan kondom ketika bersama suami. Tindakan ini dapat mengelakkan jangkitan virus HIV kepada pasangan kita. Selama 17 tahun perkahwinan saya, suami saya bebas daripada jangkitan.
Sebenarnya hubungan wanita HIV positif amat besar maknanya membabitkan soal kehidupan berkeluarga. Wanita HIV positif yang telah berkahwin masih mempunyai hak untuk mengandung. Pada tahun 1999, saya mengandungkan anak yang ketiga. Setelah mendapat nasihat daripada doktor di Hospital Kuala Lumpur ketika itu ,saya dibekalkan ubat AZT untuk mengelakkan virus daripada memasuki uri yang boleh menyebabkan jangkitan virus HIV kepada anak didalam kandungan.
Saya melahirkan anak secara normal dan anak saya mendapat rawatan dari pakar kanak-kanak iaitu Dr Kamarul di HKL. Alhamdullilah, anak saya HIV negatif. Pada tahun 2002, saya mengandungkan anak keempat. Prosedurnya tetap sama, cuma kali ini saya perlu menjalani pembedahan dan diikat saluran peranakkan. Menyusu bayi adalah dilarang. Tetapi kesemua anak saya bebas daripada penyakit HIV .Keempat-empat anak saya mengetahui status saya sebagai seorang wanita HIV positif. Sikap keterbukaan mereka dan prihatin mereka adalah pemangkin semangat saya.
Nasihat untuk mengikat saluran peranakkan pada zaman dahulu merupakan nasikhat yang baik memandangkan tiada rawatan ubat HAART ketika itu. Wanita HIV positif seperti saya sekarang ini pun dinasihatkan untuk “diikat” walaupun telah memulakan rawatan HAART. Sokongan berterusan untuk wanita HIV positif supaya memulakan rawatan amatlah diharapkan, bukan hanya daripada rakan dari segi bantuan sokongan, tetapi juga dari ahli keluarga terdekat. Memang terdapat sedikit alahan ketika memulakan ubat HAART ,akan tetapi kesan sementara dapat diatasi dengan adanya bantuan dan sokongan moral daripada ahli keluarga. Sehingga ke hari ini saya masih mendapat sokongan dari mereka.
Wanita HIV positif yang hidup sihat seperti saya setelah memulakan rawatan dan patuh pada rawatan sebenarnya dapat mengikis stigma masyarakat terhadap wanita yang hidup dengan HIV. Tanggapan negatif mengenai isu kesihatan wanita HIV positif dapat dibalas dengan kejayaan mereka meneruskan kehidupan berkeluarga. Wanita HIV positif bukan pendosa, tetapi kami telah lebih cekal mengharungi kehidupan . Amalan pemakanan yang berkhasiat dan seimbang amat penting untuk wanita yang hidup dengan HIV. Sepanjang tempoh sebelum memulakan rawatan HAART, saya menjaga kepentingan pemakanan saya. Wanita HIV positif mempunyai sistem imun yang rendah dan mudah mendapat jangkitan. Sistem imun semakin berkurang saban hari jika tiada sebarang rawatan .
Ketepatan masa juga penting untuk saya yang berada di tahap ini selepas memulakan rawatan. Rawatan ulangan cuma 6 bulan sekali.Ubat-ubatan pula di terima melalui sistem pos .Tiada sebab mengapa saya harus alpa akan kesihatan diri. Walaupun masih lagi terdapat saudara mara yang memulau saya disebabkan status saya, saya menganggap ini semua cabaran untuk membuktikan wanita berstatus HIV positif boleh menjaga keluarga dan menjalankan hidup yang biasa seperti mereka. Setiap kata-kata negatif harus dibalas dengan ilmu yang boleh mendidik kembali mereka untuk beranggapan baik terhadap wanita HIV positif seperti saya.
Zero stigma , zero diskriminasi bermula dgn sikap wanita HIV positif . Saya wanita HIV positif yang telah berjaya membuktikan kaedah rawatan sekarang dapat mengelakkan virus HIV menjadi satu penyakit yang dikenali AIDS.