Words & Photograph by Manis Chen
In November 2014, Manis was referred to a government clinic to receive treatment for some health problems she was facing. Apprehensive of the treatment she would be receiving due to her status as a mak nyah (transgender person), she was pleasantly surprised. The following article is a first-hand account of her experience.
 |
| Manis Chen |
Pagi tadi aku ke klinik swasta yang selalu kupergi. Aku menceritakan kepada doktor tentang masalah kesihatanku. Dr Othman merupakan seorang lelaki melayu yang berumur lewat 40an, pada anggaranku. Dia seorang yang peramah, boleh dibawa berbincang dan tidak menunjukkan sebarang rasa kurang senang atau tidak selesa apabila berbual denganku. Ini menyebabkan aku juga menjadi senang untuk terus datang mendapatkan rawatan terhadap apa-apa masalah kesihatan yang aku alami. Dia meminta kebenaran untuk memeriksa kandungan gula dalam darahku kerana aku sememangnya tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan secara serius.
Setelah jari telunjukku ditembak oleh jarum kecil, doktor memicit kawasan yang ditembak untuk membolehkan darah keluar dari hujung jari yang telah ditembak. Setitik darah itu kemudiannya dicalitkan pada alat bacaan darah yang telah tersedia di atas mejanya.
Dia memberitahuku bacaannya agak tinggi. Dia bertanya dimana aku ingin mendapatkan rawatan selanjutnya. Dia menerangkan komplikasi yang mungkin akan aku alami jika tidak membuat rawatan. Aku memilih untuk meneruskan rawatan di kliniknya. Dia menerangkan yang kosnya mungkin tinggi dan dia tidak mempunyai kelengkapan yang lengkap. Aku agak terkejut dengan kejujuran doktor ini. Rasa hormatnya meningkat terhadapnya. Akhirnya aku mengalah dan meminta dia menyediakan surat rujukan untuk membolehkan aku ke klinik kerajaan seperti yang dicadangkannya.
Aku tiba di klinik kerajaan itu kira-kira setengah jam kemudian. Aku terkejut melihat betapa ramainya orang di dalam klinik berkenaan. Aku tercari-cari kaunter pendaftaran memandangkan itulah kali pertama aku ke situ. Selesai urusan pendaftaran, aku menunggu sebentar untuk diperiksa doktor. Petugas di kaunter pendaftaran memberikan aku nombor giliran bagi rawatan di bilik nombor 3. Sekitar sepuluh minit kemudian aku berjumpa doktor.
Seorang doktor wanita melayu berusia lewat 20an memanggil namaku dan menyuruh aku duduk. Dia bertanyakan apa masalahku. Aku menghulurkan surat rujukan yang kubawa. Dia membaca seketika surat rujukan berkenaan, doktor wanita ini kemudian menyambung dengan beberapa soalan untuk mengetahui tentang masalah kesihatan yang kuhadapi. Kemudian, ketika ingin memeriksa degup nafasku dari arah belakang badan pula, doktor itu dengan sopan menyuruh aku menyelakkan kesemua rambutku ke depan. Selesai pemeriksaan doktor dia menyuruh aku ke kaunter saringan untuk menimbang berat badan dan untuk mendapatkan kiraan BP serta BMI. Doktor juga menyuruh aku ke bilik nombor 5 untuk membuat ECG.
Di kaunter saringan, aku juga mendapat layanan yang mesra sehinggakan petugas wanita yang berjawatan pembantu jururawat itu membahasakan diriku sebagai "kak". Aku tidak menghiraukan panggilannya kerana aku merasakan selayaknyalah aku dipanggil sebegitu memandangkan usia aku jauh lebih tua darinya.
Ketika aku dipanggil masuk ke bilik nombor 5, petugas lelaki itu bertanyakan aku samada aku mahukan staf wanita melakukan proses ECG. Aku terkejut. Tanpa berfikir panjang aku mengatakan aku tidak ada masalah untuk mendapatkan ECG darinya. Dia menyuruh aku membuka rantai leher, gelang tangan dan mengeluarkan duit siling dari poket seluar palazo polka dot purple yang kupakai. Dia memberikan aku satu bakul comel untuk aku menyimpan barangan peribadiku. Dengan nada yang mesra dia menyuruhku untuk memaklumkan kepadanya setelah aku bersedia.
Beberapa minit kemudian seorang staf lelaki lain masuk. Dia menyuruh aku membuka baju. Aku menuruti arahannya. Dia mula mengenakan penyepit di kedua pergelangan tangan dan kakiku. Kemudian dia ingin menyepit di kawasan kiri dada. Dia memohon maaf kepadaku kerana terpaksa menyelak sedikit sport bra yang kupakai. Sekali lagi aku terkejut kerana staf lelaki itu dengan sopan memohon maaf.
Secara jujur, aku sendiri tidak memikirkan aku seorang mak nyah. Aku akan berhadapan dengan situasi bakal diperiksa petugas lelaki. Apa yang bermain difikiranku ketika mengeluarkan kad pengenalan semasa sesi pendaftaran tadi hanyalah aku tidak akan selesa apabila nama betul seperti yang tercatit di kad pengenalanku akan digunakan sepanjang berurusan di klinik ini.
Setelah semuanya selesai, aku mengucapkan terima kasih kepada petugas berkenaan. Aku kembali ke bilik rawatan nombor 3. Doktor memaklumkan aku perlu memulakan rawatan. Dia mengesahkan aku mempunyai kencing manis dan juga darah tinggi. Dia membelek cetakan ECGku dan memaklumkan aku tidak mempunyai masalah jantung kerana bacaannya normal. Tanpa diduga, ketika bertanyakan tentang latar belakang keluargaku seperti ada atau tidak ahli keluarga mengidap penyakit-penyakit kronik, dia juga bertanyakan samada aku selalu memakai kasut bertumit tinggi. Aku secara spontan menyatakan tidak kerana aku tidak akan bertahan memakainya untuk jangkamasa yang lama. Ini membuktikan bahawa doktor wanita itu beranggapan seorang wanita pastinya akan memakai kasut bertumit tinggi.
Kaunter yang terakhir perlu aku tempuhi sebelum boleh balik ialah kaunter farmasi. Aku menekan mesin nombor giliran, mengepil nombor yang keluar pada slip ubat dan menyimpan satu lagi nombor yang sama di tanganku. Aku duduk di salah satu kerusi plastik berwarna biru yang terdapat di depan kaunter berkenaan. 5 minit kemudian nomborku naik di ruang nombor giliran. Aku bangun dan berjalan menuju ke kaunter farmasi. Seorang staf wanita berbangsa cina membaca sekali lagi namaku. Aku merasakan dia terkejut kerana nama yang dibacakannya adalah nama lelaki tetapi yang berdiri didepannya adalah seorang wanita. Beberapa saat berlalu dan dia mungkin telah dapat menerima kenyataan bahawa pesakit yang ingin mendapatkan ubat itu sebenarnya adalah orang yang betul. Dia menerangkan tentang fungsi ubat dan aturan makannya dengan bersahaja selepas itu.
Apa yang dapat aku katakan, pengalaman mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Gombak Setia itu sungguh menyenangkan walaupun aku adalah seorang mak nyah kerana layanannya tetap sama dengan pesakit lain. Tiada sebarang ungkapan negatif dilemparkan oleh kakitangan kesihatan di situ walaupun ada reaksi tidak percaya dari raut muka petugas bahawa yang berada di depan mereka adalah seorang yang berjantina lelaki. Aku membuat kesimpulan ini kerana mereka memanggil nama seorang lelaki tetapi yang datang/menyahut adalah seorang perempuan. Kepada Dr Intan Shafinaz Ja'apar dan team di KK Gombak Setia, sekalung tahniah dari saya